
Sekali lagi minyak punya pasal. Pasal apa? Saya pun pening. Masalah yang paling sensasi sekarang ini. Timbul khabar angin mengatakan stesen minyak akan mogok dengan menutup operasi perniagaan mereka selama lima hari menyebabkan orang ramai berpusu-pusu untuk mengisi minyak. Ini menyebabkan situasi panik di kalangan pengguna terutamanya yang berkenderaan.
Khabar angin juga mengatakan pengusaha stesen minyak akan mengenakan harga yang lebih tinggi sebanyak RM1 daripada harga semasa sekarang. Siapalah yang tidak panik dengan kenyataan sebegini. Kalau saya ingin sahaja rasanya bawa tangki air isi semuanya dengan bahan bakar tersebut.
Saya sebenarnya tidak sedar dengan khabar angin ini sehinggalah saya keluar ke bandar pada pukul 6.00 petang. Saya terkejut dengan jumlah kenderaan yang banyak berbaris sepanjang ke stesen minyak. Saya ingatkan harga minyak akan naik lagi. Maklumlah parlimen kelmarin membuat undian belah bahagian mengenai usul khas kenaikan harga petroleum dan barangan selepas dibahas dan meluluskan usul tersebut.
Situasi yang menimbulkan panik ini menyebabkan polis trafik terpaksa dikerah menjaga dan mengawal keadaan lalulintas. Lampu isyarat Takada yang kebiasaannya dikawal oleh polis trafik lelaki telah bertukar kepada wanita dan ini pertama kali saya lihat keadaan ini. Rasanya semua polis trafik lelaki sibuk di semua stesen minyak. Saya dapat rasakan polis trafik wanita tersebut pertama kali mengawal lalu lintas di situ kerana aturan laluan yang sepatutnya jalan terlebih dahulu tidak didahulukan dan tidak teratur seperti kebiasaanya. Tidak apalah asalkan lalulintas berjalan dengan lancar.
Risau dengan khabar itu menyebabkan saya buka radio Tawau FM dan alhamdulillah pegawai daripada KDNHEP Tawau memberi jaminan bahawa stesen minyak tidak akan mogok kerana undang-undang menetapkan sekiranya mereka berbuat demikian, lesen perniagaan mereka akan ditarik balik dan beliau juga memberitahu sekiranya stesen minyak tersebut kehabisan bekalan, bekalan akan dihantar sehingga pukul 12 malam. Lega juga dengan berita ini.
Sekarang ni pun dengan harga minyak setinggi ini (RM2.70 – petrol) memeningkan semua orang. Apabila orang keluar berpusu-pusu ke stesen minyak secara tidak langsung rakyak memberi protes senyap kepada kenaikan ini. Ini kerana, apabila mereka keluar mengisi minyak ketika itu menjelaskan kepada kita bahawa mereka sebenarnya golongan yang terdesak dengan kenaikan ini. Kalau tidak terkesan dengan sebarang kenaikan mereka akan hanya goyang kaki di rumah. Kan kan kan? Cuma pendapat yang tidak seberapa sahaja. Saya main agak jak. Cuba untuk berfikir. Kalau tidak nanti otak jadi karat sebab tidak berfikir.